PANGKOR - Seorang pengusaha laksa masih lagi menggunakan cara tradisional dalam menghasilkan laksa yang dijualnya bagi mengekalkan kesedapan rasa laksa berkenaan.
Ain Darus, 64, terlibat dalam perusahaan laksa sejak berusia 12 tahun yang diwarisi oleh arwah ibunya, Minah Din.
Ain berkata, dia boleh menghasilkan laksa sebanyak 15 kilogram setiap hari dengan hanya menguli tepung secara manual sebelum dibentuk menjadi laksa menggunakan mesin yang sudah berusia hampir 100 tahun.
“Sejak berumur 12 tahun lagi saya sudah terlibat dalam pemprosesan laksa bersama arwah mak dan ketika itu saya menjual laksa dengan cara mengandar di belakang dan dijual di seluruh Pangkor.
“Sebelum ini, saya mengusahakan laksa pada waktu tertentu sahaja kerana masih bekerja di kargo tetapi setelah mengalami kemalangan tiga tahun lalu, saya mengambil keputusan untuk mengusahakan laksa sepenuhnya memandangkan keadaan diri yang tidak boleh bekerja menggunakan terlalu banyak tenaga,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Pinang Besar.
Katanya, apabila tiba musim perayaan, tempahan laksanya semakin bertambah sehingga 100 kilogram sehari.
“Jika hari-hari biasa lebih kurang 15 kilogram laksa saya hasilkan tetapi jika tiba musim perayaan boleh mencecah hingga 100 kilogram.
“Ketika ini, saya meminta bantuan anak-anak untuk sama-sama membantu memandangkan tenaga saya seorang tidak mampu untuk menampung permintaan yang terlalu banyak.
“Tepung berkenaan saya perlu uli sendiri selama 20 minit dan selepas itu bolehlah dikisar untuk menghasilkan bentuk laksa,” katanya yang menjual laksa RM7 bagi setiap kilogram.
Ain berkata, setiap hari dia terpaksa bangun kira-kira jam 1 pagi untuk memproses laksa bagi memenuhi permintaan pelanggan.
“Setiap hari itulah rutin saya, bangun seawal pagi untuk memproses laksa bagi memenuhi permintaan pelanggan terutama peniaga di sekitar Pulau Pangkor.
“Laksa yang saya hasilkan boleh bertahan sehingga empat hari jika disimpan dengan elok dan bukan sahaja boleh dimakan bersama kuah laksa tetapi juga boleh dijadikan sebagai laksa goreng,” katanya yang bergantung sepenuhnya pendapatan kepada penjualan laksa.
Walaupun ada dalam kalangan lima anaknya boleh menghasilkan laksa, namun Ain berkata, ianya tidak sama seperti buatan tangannya.
“Memang ada anak-anak yang boleh menghasilkan laksa tetapi ia tetap tidak sama seperti yang saya hasilkan.
“Namun begitu saya akan tetap mengajar mereka supaya pemprosesan laksa ini boleh diwarisi oleh anak-anak pula,” katanya.
Katanya, dia juga berhasrat untuk meluaskan perusahaan laksa miliknya memandangkan itu adalah punca pendapatan mereka.
“Ada juga hasrat untuk meluaskan perusahaan ini. Jika ada pihak yang mahu membantu dari segi penyediaan mesin untuk menguli dan mengisar laksa, saya amat alu-alukan.
“Ini kerana permintaan terhadap laksa sentiasa ada terutamanya tiba musim perayaan sehingga saya tidak menang tangan untuk memenuhinya,” katanya.
No comments:
Post a Comment